Jawa Tengah

Tuesday, 26 September 2017

Kisah kehidupan....di Ladang Perbadanan KENJ timur.

Kemelut di ladang
        Hujan di luar masih menganas menerjah seluruh pelusuk ladang yang pasrah dengan kejadian alam.  Persekitaran sepi tanpa ada kicauan burung dan hilai tawa dari kanak-kanak seperti selalu.  Cuaca benar-benar buruk hari ini tidak seperti semalam yang hanya hujan beberapa jam sahaja.  Bunyi motosikal haprak daripada pekerja-pekerja ladang juga tidak kedengaran.  Lori pemunggut buah juga tidak berbunyi derumannya.  Di Jalan tidak kelihatan kelibat siapa-siapa pun. 
        ”Dah musim hujan sekarang ni”,  keluh Pak Sani sambil meninjau halaman rumahnya.
         Pak Sani menghela nafas sambil mengaru rambutnya yang berwarna hitam putih.  Kadang-kadang dia menjentikkan sesuatu dari hujung kuku.  Mata Pak Sani separuh sembab itu berkedip-kedip melihat keluar pintu.  Pandangannya kosong.  Mulutnye separuh terlopong.
        ”Hujan pagi-pagi macam ni, sedap tidor aja”,  gumam Pak Sani sendirian.
         Pak Sani mengeluh panjang.  Dia menyandarkan dirinya ke dinding menghala ke muka pintu yang sengaja tidak ditutup sejak awal hujan tadi.  Dia membiarkan dingin hujan menyentuh tubuh tuanya.  Sekejap-sekejap matanya mengerling ke ruang dapur.  Menanti Mak Timah isterinya menyiapkan sarapan pagi untuknya. 
         ”Timah!, mana sarapannya?”  Pak Sani separuh menjerit.
         Namun, tiada jawapan daripada Mak Timah.  Mungkin Mak Timah sedang bersiap-siap untuk pergi ke Kandang.  Pak Sani menggeleng-gelengkan kepala.  Mulutnya kumat-kamit seperti sedang marahkan seseorang.  Telah lima tahun dia tidak berkerja, sebaliknya yang mengambil alih menyara keluarga adalah isterinya, Mak Timah.  Tidak terlalu muda untuk Mak Timah menyara keluarga hanya dengan kudratnya sendiri.  Pendapatan bulanannya hanya enam ratus lima puluh ringgit.  Itulah yang diagih-agihkan kepada segala keperluan termasuk perbelanjaan anak bungsu mereka yang masih bersekolah.  Pak Sani bukan tidak mahu berkerja tetapi umurnya telah melebihi lima puluh lima tahun.  Berdasarkan kepada undang-undang buruh, pekerja ladang yang telah berumur lima puluh lima tahun tidak dibenarkan berkerja lagi di ladang. Malahan, Pak Sani sejak kebelakangan ini kesihatannya tidak memihak kepadanya.  Sebelum mengambil keputusan untuk berehat di rumah, Pak Sani telah berkerja sebagai pembantu keselamatan disalah sebuah tempat peranginan yang berdekatan.  Namun kehendak dan dugaan Allah S.W.T tidak siapa yang tahu.  Pak Sani telah disahkan menghidap penyakit paru-paru berair.  Doktor menasihatkan Pak Sani agar tidak berembun di waktu malam, bimbang penyakitnya akan bertambah teruk       
         ”Hari ini saya masak jemput-jemput bang”,  Mak Timah melintas dihadapan Pak Sani dengan payung ditangan. 
        ”Air kopi pun saya dah bancuh”,  Mak Timah mengerling Pak Sani yang sedari tadi duduk bersandar di dinding menghala ke pintu.
        ”Hujan lagi ni.  Tunggulah hujan berhenti, baru ke Kandang”,  kata Pak Sani apabila dilihatnya Mak Timah mula mengembangkan payung.   Mak Timah berdiri di ambang pintu membiarkan badannya terpercik dengan air hujan.
         ”Lama hujan kali ni kan bang?”,   kata Mak Timah sambil menoleh ke wajah suaminya.
         ”Kerja Tuhan”,  jawap Pak Sani pendek.
         Seperti selalu, seawal pagi Mak Timah akan bersiap-siap diri untuk keperhimpunan pekerja.  Selepas itu dia ketempat asuhan yang lebih dikenali dengan panggilan Kandang oleh semua pekerja di ladang itu.  Mak Timah telah lali dengan kenakalan anak-anak yang diasuhnya.  Malahan, Mak Timah juga selalu berhadapan dengan kerenah ibu-ibu yang menghantar anak-anak mereka ke situ.  Demi keperluan hidup dan tanggung jawab,  Mak Timah rela berbuat apa sahaja asal keluarganya tidak kebuluran.  Tiada siapa lagi yang boleh disandarkan harapan.  
         Esah, anak bungsu Pak Sani dan Mak Timah masih bersekolah.  Kebiasaannya Esah ke sekolah dengan menaiki basikal.  Namun, dipagi itu Esah lewat ke Sekolah kerana hujan terlalu lebat. 
        ”Tunggulah hujan berhenti, baru pergi ke sekolah”,  tegur Mak Timah kepada Esah apabila dilihat anaknya berlari-lari anak menuju ke pokok ceri mengambil basikalnya.
        ”Hujan ni tidak akan berhenti, mak”,  jawab Esah sambil menggosok-gosok kedua belah tapak tangannya.  Kain yang dipakai hampir lencun terkena air hujan.
        ”Kerja tuhan, tak ada siapa boleh menghalangnya”,  sampuk Pak Sani dari tepi pintu.
       ”Sekejap lagi berentilah tu”,  kata Mak Timah menyedapkan hati Esah anak bungsunya.
       ”Esah mesti sampai ke sekolah awal.  Cikgu suruh datang cepat sikit pagi ni”,   keluh Esah lagi.
       ”Baru pukul enam setengah, awal lagi ni”,  kata Mak Timah.  Matanya menjeling ke arah Esah anak bungsunya.
       ”Masuklah dulu.  Kain kau pun sudah basah.  Hujan reda nanti bolehlah pergi.  Bahaya hujan-hujan macam ni naik basikal”,  kata Mak Timah lagi.  Esah akur dengan kata-kata Mak Timah.  Dia masuk ke dalam semula sambil merunggut.  Mak Timah faham dengan perangai Esah.  Semua kehendaknya sukar dihalang.  Mak Timah masih berada diambang pintu dengan payung ditangan.  Sesekali wajah Mak Timah terpanah dengan sinaran kilat.  Bergegar dadanya dengan dentuman petir yang begitu rakus membelah kebeningan pagi.    
        ”Abang, kalau hujan sudah reda, pergilah ke klinik ambil ubat semput”,  kata Mak Timah sebaik sahaja dia membuka payung. Telah menjadi kebiasaan, sebelum keperhimpunan pekerja, ia akan berpesan kepada Pak Sani dengan berbagai perkara.  Hari ini adalah tarikh temujanji Pak Sani dengan doktor hospital besar yang datang ke klinik ladang.  Kebetulan pula ubat semput yang perlu diambil setiap hari oleh Pak Sani telah hampir habis.  Biasanya kalau Mak Timah tidak pesan begitu, Pak Sani akan buat-buat lupa untuk mengambil ubat, walau ingatannya masih seratus peratus baik. 
       ”Yalah, aku ingat”,   jawab Pak Sani perlahan.
       ”Sebelum tu abang sarapan dulu.  Saya dah siapkan jemput-jemput dan air kopi dalam tudung saji atas meja tu”,  kata Mak Timah tanpa menoleh ke arah Pak Sani kerana sibuk menepis tempias hujan yang mengenai wajahnya.   
        Hujan tetap mencurah, tanpa mengiraukan resah Mak Timah mahu segera sampai ke keperhimpunan pekerja.  Jam telah menunjukkan pukul enam tiga puluh lima minit pagi, bererti waktu perhimpunan pekerja telah habis.  Dentuman petir dan kilat saling sambar menyambar membelah kebeningan pagi dengan rakusnya.  Bahagian kaki kain Mak Timah telah lencun kerana tempias hujan yang terus menganas.  Ditarik kakinya kemuka pintu.  Payung ditutup semula.  Dia mengibas-ngibas kaki kainnya dengan tuala kecil.
        ”Hujan lagi, nak aku hantar ke pejabat?” tanya Pak Sani yang sudah pun berdiri dimuka pintu.
         “Tak payahlah.  Waktu perhimpunan pekerja pun dah habis.  Abang pun bukan sihat sangat”,  jawab Mak Timah sambil tersenyum manja menoleh ke arah Pak Sani.  Pak Sani tidak menjawab, hanya mampu tersenyum. Kata-kata isterinya itu memang benar, dia tidak seperti dahulu.  Dia sering batuk-batuk, kadang berlarutan hingga berhari-hari lamanya.
        ”Bang, hujan dah agak reda ni.  Jangan lupa lepas jumpa doktor, ambil ubat sekali di klinik.  Saya pergi dulu bang”,  kata Mak Timah kepada Pak Sani suaminya yang dicintai.  Cinta dan kasih sayangnya terhadap Pak Sani tidak pernah luntur.  Biar siapa dan bagaimana fitrah Pak Sani, Mak Timah tetap sayang dan taat kepadanya.  Bagi Mak Timah Pak Sani sahaja tempat dia menumpang kasih selagi hidupnya masih bersisa. 
       ”Yalah, nanti siang sikit aku pergilah.  Tunggu matahari terbit!”  kata Pak Sani sambil tersenyum.
       ”Bila hujan reda, terbitlah matahari tu nanti”,  kata Mak Timah sambil membalas senyuman Pak Sani.
      ”Mak!, hujan dah reda?”, terdengar suara Esah dari dalam.
      ”Kalau nak ke sekolah nantilah tunggu hujan betul-betul berhenti”,  kata Mak Timah.
      ”Mak nak ke Kandang dulu!”,  kata Mak Timah separuh menjerit.
      ”Baik-baik.  Jalan dah becak tu”,  kata Pak Sani kepada Mak Timah yang mula melangkah keluar rumah.
         ”Baiklah bang”,  balas Mak Timah lalu membuka payungnya dan meninggalkan Pak Sani yang tercegat memerhatikannya dari ambang pintu. 
        ”Mak, Esah nak pergi jugalah.  Kalau lambat nanti hujan turun lagi”,  tiba-tiba Esah meluru keluar sehingga hampir terlanggar Pak Sani.  Pak Sani hanya menggeleng-geleng kepala melihat gelagat anak bungsunya itu. 
        ”Keras kepala betul budak ni.  Mak kau kata tunggu hujan berhenti, nak juga pergi”, renggus Pak Sani.  Mak Timah memberhentikan langkahnya memberi laluan kepada Esah yang terkial-kial mengayuh basikal dalam keadaan jalan yang becak.
       ”Baik-baik jalan”,  suara Mak Timah tenggelam oleh dentuman petir yang kian rakus.
       Lebih kurang sepuluh minit perjalanan dengan meredah hujan dan becak, Mak Timah sampai ke Kandang.  Cuaca gelap walaupun waktu itu sudah pukul tujuh pagi.  Setelah menukar pakaiannya yang basah dengan pakaian lain, Mak Timah terus bergegas ke dapur menjerang air untuk persediaan membuat susu anak-anak yang akan ditinggalkan oleh pekerja-pekerja ladang.
        ”Sudah pukul tujuh tapi tidak ada ibu-ibu yang menghantar anak-anak”,  bisik hati Mak Timah.  Mak Timah meneruskan kerja-kerjanya dengan menyapu lantai dan mengelap meja seperti biasa.  Menyediakan tilam dan bantal buat persediaan anak-anak kecil yang akan ditinggalkan oleh ibunya di situ.  Berlari-lari Mak Timah ke dapur mendapatkan cerek yang berbunyi menandakan air telah mendidih.  Ia menuang air panas itu kedalam beberapa biji tarmos.  Dia ke hadapan semula menyapu lantai sambil meninjau-ninjau, kalau-kalau ada ibu-ibu yang menghantar anak-anak mereka. 
        “Assalammualaikum Mak Timah”,  kedengaran orang memberi salam dari sebalik pintu kandang.
        ”Waalaikumusalam, lambat hari ni Kinah?”  jawab Mak Timah lantas meletakkan penyapu ketepi dinding dan mendapatkan Boboi yang masih dalam pelukan Kinah ibunya.
        ”Mak Timah, hari ni Boboi tidak sihat.  Ini ubat-ubatnya.  Ubat demam, ubat batuk dan ubat selsema”,  kata Kinah sebaik saja Mak Timah mendukung Boboi dan menidurkannya di atas tilam yang telah tersedia.
        ”Yalah, kau jangan risau.  Bila sudah makan ubat, beransur baiklah budak ni.  Kau tu pergi kerja baik-baik, hari masih hujan lagi”,  kata Mak Timah lalu menyimpan beg berisi ubat dan bakul pakaian Boboi ke sudut Kandang.  Mak Timah menyimpan penyapu kebelakang dapur dan bergegas ke ruang hadapan semula.  Dari jauh kedengaran suara budak menangis.
        ”La, kenapa menangis?.  Semalam elok main dengan kawan-kawan.  Mari masuk, nanti kita main kereta-kereta lagi macam semalam”,  pujuk Mak Timah kepada budak yang sedang menangis itu.
        ”Tolong ya Mak Timah, Koren buat hal pula hari ni.  Dia masih tidur sewaktu saya bawa ke sini”,  kata Dewi yang menghantar anaknya ke kandang.
       ”Tidak mengapa Dewi.  Sekejap lagi berhentilah dia menangis”,  kata Mak Timah lalu mendukung Koren yang meronta-ronta tidak mahu ditinggalkan oleh ibunya.
       ”Ok Mak Timah.  Lori mahu bergerak.  Saya pergi kerja dulu Mak Timah!”,  kata Dewi sambil berlari-lari anak menuju ke lori yang sedang menunggu perkerja-perkerja ladang untuk dihantar kebahagian masing-masing.
       ”Baik-baik jalan!”,  suara Mak Timah tenggelam ditelan deruman lori yang bergerak terhenjut-henjut meredah hujan di atas jalan yang becak. Koren masih menangis dan berlari menuju ke pintu Kandang sambil memanggil-manggil ibunya.  Mak Timah dalam keadaan terpaksa juga berlari mendapatkan Koren.  Walau pun kakinya terasa berat dan sakit sewaktu mengejar Koren, Mak Timah gagahi juga. Dia akur kerana semua itu adalah tanggungjawabnya.. 
        ”Mari sini minum susu”,  pujuk Mak Timah kepada Koren.  Koren menggeleng-geleng tidak mahu.  Dalam masa yang sama Boboi yang sedang nyenyak tidur telah terjaga.  Boboi menangis, menguling-guling lalu terjatuh dari tilam tempat tidurnya.  Sedang Mak Timah melayan Koren dan Boboi, terdengar suara memberi salam dari luar kandang. 
          ”Assalammualikum Mak Timah, ini bekal dan baju sekolah Syafik.  Saya pergi dulu ya Mak Timah”,  terburu-buru seorang ibu meninggalkan anaknya di kandang itu.
         ”Ya, yalah”,  Mak Timah menjawab dari dalam.  Baginya Syafik tidak perlu dipujuk atau dipimpin ke dalam kerana dia telah menghuni kandang sejak dari berumur tiga tahun lagi.  Kini Syafik telah pun berada ditahun satu sekolah rendah.  Selang beberapa minit kemudian datang beberapa orang ibu menghantar anak-anak mereka ke Kandang.  Seperti biasa, Mak Timah melayan anak-anak itu dengan baik walaupun dia terpaksa mengasuh sepuluh orang kanak-kanak dalam satu masa.  Kadang-kadang, Mak Timah terasa terbeban dengan perkerjaannya itu.  Namun, Mak Timah bersyukur kerana masih berpeluang mencari rezeki yang halal demi menyara keluarganya. 
          Pernah suatu hari Mak Timah telah dimarah oleh Tipah seorang pekerja ladang yang meninggalkan anaknya di Kandang.  Anaknya terluka akibat bergurau sesama rakan. 
         ”Mak Timah! kalau tidak larat berkerja menjaga budak, tak payahlah kerja.  Buat susah orang saja!”,  tengking Tipah kepada Mak Timah sambil mendapatkan anaknya yang sedang menangis.
       ”Maaf ya Tipah, Mak Timah siapkan susu tadi, sekejap saja bukannya lama.  Tengok budak-budak tu sudah berkelahi”,  jawab Mak Timah selamba seolah tidak menaruh perasaan marah terhadap herdikan Tipah.
         ”Jaga anak orang biarlah bertanggungjawab.  Bukan sekadar tunggu duit gaji tiap-tiap bulan”,  cemuh Tipah lagi dengan menjuehkan bibirnya.
        ”Perkara ini kalau diadukan kepihak pengurus ladang, Mak Timah kena buang kerja nanti”,  kata Tipah lagi apabila dilihatnya Mak Timah tidak memberi apa-apa reaksi.  Sebaliknya Mak Timah bernyanyi-nyanyi kerana sedang mendukung seorang anak kecil.
         ”Inshallah, aku masih ingat janji-janji aku dengan pengurus mula-mula bertukar kerja kebahagian ini dulu.  Aku sudah tandatangan disurat perjanjian.  Bererti tanggungjawab aku adalah menjaga budak-budak sebaik mungkin. Sekiranya ada perkara-perkara yang diluar pengelihatan dan jangkaan aku, tidak dapatlah aku mengelaknya.  Maaf ya Tipah? aku memang tak perasan anak kau berkelai”,  kata Mak Timah perlahan. 
         ”Kerja menjaga budak bukannya senang.  Tambahan pula yang dijaga bukanlah satu atau dua tetapi sepuluh”,  tiba-tiba mencelah si Kinah datang untuk mengambil anaknya.
        ”Kita bukan tidak biasa menjaga budak.  Lebih-lebih lagi kalau budak-budak yang nakal.  Tidak mengusik kawan-kawan, tidak budak namanya”,  sambung Kinah lagi.
        ”Aku tahulah, tapi Mak Timah ini selalu lalai, cuai dah tak layak menjadi penjaga budak di Kandang”,  balas Tipah pula.
       ”Habis? engkau nak ambil alih tugas Mak Timah menjaga budak-budak di Kandang ni?”  tanya Kinah kepada Tipah dengan marah.
      ”Kau cuba duduk di sini,  jaga budak-budak sehari pun cukuplah.  Seandainya kau larat aku tabik kau Tipah”,  kata Kinah lagi.
       ”Aku pertikaikan hal penjagaan anak-anak di Kandang ni kerana anak aku pun ada di sini!”.  Tipah berang.
        ”Sudah, sudahlah tu.  Mak Timah mengaku memang aku yang cuai tadi.  Sudah,  pergilah balik. Tidak baik bertekak didepan anak-anak”,  Mak Timah meredakan keadaan.
       ”Mak Timah memang tak pandai menjaga budak.  Tengok? Anak sendiri pun lari ikut jantan! Entah hidup entahkan mati si Alia tu.  Mengaku sahajalah yang Mak Timah tidak tahu menjaga anak!”,  jerit Tipah.  Dia segera beredar dari kandang dengan menarik tangan anaknya dengan rakus.  Mak Timah terkedu.  Lemah seluruh badannya.    
        ”Sabar ya Mak Timah.  Sabar banyak-banyak.  Tipah tu memang kurang ajar!.  Dia ingat senang agaknya menjaga budak-budak dalam jumlah yang ramai.  Saya tidak fahamlah Mak Timah, ada juga orang macam si Tipah tu di dunia ni.”,  kata Kinah.  Mukanya merah menahan marah.
         ”Aku sedar diri Kinah.  Aku dah tua memang tak layak kerja-kerja menjaga budak.  Anak sendiri pun lari daripada rumah.  Aku pun sakit-sakit kaki dan badan.  Kau faham sajalah, walaupun keadaan aku macam ni, kalau aku tidak berkerja jaga budak, kerja apa lagi yang aku boleh buat?  Dulu masa muda, kerja ’kongsikong’ di ladang, masih larat lagi.  Sekarang sudah semakin tua, aku tidak larat lagi untuk meredah pokok-pokok kelapa sawit tu.  Aku minta ditukarkan ke sini,  menjaga budak-budak di Kandang..  Kau pun tahu kan, Pak Sani kau tidak boleh berkerja.  Umurnya pun sudah melebehi lima puluh lima tahun.  Doktor mengesahkan paru-parunya berair pula”,  kata Mak Timah, wajahnya sayu. 
       ”Saya faham.  Kita semua sama tarafnya.  Datang dari kampung ke sini semata-mata mencarik rezeki untuk menyambung hidup. Jangan herankan sangat perangai si Tipah tu”,  Kata Kinah sambil mengusap belakang Mak Timah.
         ”Yalah.  Aku tahu engkau faham, tapi yang tak faham lebih ramai.  Dulu aku hampir-hampir sahaja berhenti kerja daripada ladang ni.  Namun, bila tahu ada kekosongan di Kandang, aku cepat-cepat mohon berpindah kebahagian sini.  Walaupun gajinya tidak seberapa, aku sangka perkerjaannya lebih ringan dan mudah, rupanya aku terpaksa berhadapan dengan kerenah ramai orang.  Kelip-kelip ku sangka api, biar pun kecil boleh menerangi kegelapan. Namun sangkaan ku salah.  Kelip-kelip itu adalah bara yang boleh membakar”,  mata Mak Timah berkaca. 
          ”Sabar ya Mak Timah.  Kesabaran itu buat kita tenang”,  Kinah memujuk dan mengusap-ngusap belakang Mak Timah.
         ”Saya balik dulu ya Mak Timah”,  Kinah minta diri untuk pulang.  Mak Timah hanya mengangguk-ngangguk.  Matanya sahaja yang  menuruti langkah-langkah Kinah sehingga hilang daripada pandangan.  Budak yang didukung telah tertidur dibahunya.  Perlahan-lahan, Mak Timah meletakan budak itu di atas tilam.  Mak Timah duduk termanggu sambil menepuk-nepuk anak kecil itu.  Wajah Esah dan Alia silih berganti berligar diruang matanya.  Alia anak gadisnya telah tiga tahun tidak diketahui khabar beritanya kerana lari mengikut Agos pemuda dari seberang.  Sah, Ijam dan Kahar tiga orang anak lelakinya telah berhijrah ke Singapura.  Mereka jarang pulang. Kini yang tinggal hanya Esah anak bungsunya yang masih bersekolah.  Mak Timah menghela nafas yang panjang.  Setelah anak-anak diambil oleh ibu masing-masing, Mak Timah pulang ke rumah.  Hatinya senang apabila dilihat Pak Sani sedang duduk bersandar di bawah pokok ceri.
          Petang itu, Esah meminta izin dari Mak Timah untuk kebandar dengan alasan hendak membeli kertas tulis berwarna.  Mak Timah berasa berat hati untuk mengizinkannya.  Mak Timah bimbang akan keselamatan anak gadisnya.  Kejadian Alia lari mengikut Agos pemuda daripada seberang masih menghantui hidup Mak Timah.  Berat hatinya untuk membenarkan Esah ke Bandar.  Malahan Mak Timah belum mempunyai wang untuk diberikan kepada Esah.     
       ”Mak bukan tidak izinkan Esah pergi ke bandar, tetapi mak tidak cukup duit untuk beri pada Esah.  Minggu depan mak dapat gaji, masa tu bolehlah pergi ke bandar, ya?”,  tegas Mak Timah.  Biarpun Mak Timah bertegas, namun tutur katanya tetap lembut terhadap anak gadis yg disayangi itu.
         ”Ala mak, macam mana ni, Tina dengan Irin pergi sekejap lagi.  Kalau Esah pergi minggu depan, nampaknya Esah pergi sendiri.  Mak suka ke kalau Esah ke bandar sendirian?”  runggut Esah sambil mengaruk-garuk kepala dan menghentak-hentakkan kakinya.
         ”Ini sajalah yang mak ada”,  kata Mak Timah sambil menghulurkan sehelai kertas berwarna merah ketangan Esah.
         ”Tambang, pandai-pandailah kongsi dengan Tina dan Irin nanti ya?”  kata Mak Timah.  Dia berasa sedih kerana tidak dapat memberi Esah duit dengan secukupnya.
         ”Tidak boleh ke tambah sikit lagi mak?”  kata Esah, sambil memandang emaknya dengan pandangan minta belas kasihan.
         ”Itu sajalah yang tinggal, itu pun mak simpan buat ayah kau kalau-kalau dia semput tiba-tiba, boleh juga buat tambang ke hospital”,  jawab Mak Timah dengan suara tersekat-sekat.
        ”Ala mak, macam ini apa yang dapat”,  tengkah Esah lagi.
        ”Setakat nak beli kertas tulis berwarna, mak rasa cukuplah tu”,  kata Mak Timah sambil membelai rambut anak gadisnya.
        ”Selalu macam ni”,  keluh Esah.  Dia bingkas bangun daripada pangkuan Mak Timah menuju ke biliknya lalu menghempas daun pintu. 
         Terbeliak mata Pak Sani.  Terperanjat dia dengan bunyi dentuman daun pintu manakala Mak Timah hanya mampu menggeleng-geleng kepala sambil mengurut dada. 
        ”Kurang asam betul budak seorang ni, kalau ia pun takkan sampai berkelakuan macam tu?”   keluh Pak Sani sambil mengaru-garu kepalanya.
        ”Entahlah. Sejak akhir-akhir ni perangai si Esah macam dah berubah, agak keras kepala macam abang jugak”,  kata Mak Timah sambil mengerling Pak Sani yang duduk bersandar di dinding.
        ”Aku, walaupun kau kata keras kepala, aku tidak ajar anak-anak jadi macam aku.  Aku dulu mana ada pelajaran, sekolah pun tak habis..  Sekarang biar pun hidup susah, kita masih boleh sekolahkan anak-anak, walaupun persekolahan mereka tidak sampai ke universiti”,  kata Pak Sani.  Suaranya agak keras.  Mak Timah bingkas ke almari pinggan mangkuk.  Dicelah-celah pinggan mangkuk itu dia menarik sesuatu.     
        ”Ha, ada dua puluh ringgit.  Anak abang kata sepuluh ringgit tidak cukup untuk ke bandar”,  kata Mak Timah sambil mengira helaian duit kertas itu lagi.
         ”Cukup sangat sepuluh ringgit.  Bukan nak beli apa pun”,  kata Pak Sani, tidak puas hati terhadap kehendak Esah anak gadisnya.
          ”Engkau manjakan sangat si Esah tu, pijak kepala engkau nanti”,  kata Pak Sani lagi.  Dia terasa belas melihat isterinya yang terpaksa menanggung masalah kewangan keluarga sendirian.
        ”Biasalah.  Esah tu kan anak abang!, perangainya sebijik macam abang”,  kata Mak Timah seakan merunggut.   Pak Sani mencebek.  Walaubagaimana pun, di dalam hati Pak Sani mengakui akan kebenaran kata-kata isterinya itu.   Dia pasrah.
        ”Budak kalau dah degil, apa sahaja yang kita kata, tidak didengarnya”,  runggut Pak Sani.
        ”Lima orang anak bang. Lima perangai.  Termasuk abang, enam perangai saya kena hadap”,  runggut Mak Timah.
        “Jangan samakan aku dengan anak-anak.  Sebab itulah aku tak suka manjakan sangat budak-budak tu”,  rengus Pak Sani.  Sakit hatinya mendengar kata-kata Mak Timah.
         ”Abang dengan anak-anak sendiri memang tak mahu manjakan.  Tengok, anak-anak angkat abang dari seberang tu, abang manjakan sangat.  Habisnya, dia bawa lari Alia anak kita”,  mata Mak Timah berkaca.
        ”Alia seorang anak yang baik dan patuh pada kita.  Tanpa sedar dia sanggup lari mengikut Agos keseberang”,  suara Mak Timah keras.  Pak Sani tidak menjawab, hanya termenung jauh memandang keluar.  Pak Sani sedar, semua yang berlaku di dalam keluarga adalah berpunca daripadanya.  Dia tidak terfikir disebalik kebaikan anak-anak angkatnya dari seberang, telah membawa petaka di dalam rumah tangganya.  Agos anak angkat yang dipercayainya sanggup membawa lari Alia anak gadisnya ke seberang.  Pak Sani berasa malu terhadap jiran tetangga.  Malahan dia ditemplak oleh sedara mara akibat terlalu percayakan pemuda-pemuda dari seberang sehingga mengakuinya sebagai anak angkat.
         ”Sani, engkau jangan percaya sangat pada budak-budak dari seberang tu.  Kau ada anak perempuan.  Aku bukan apa, bimbang ada perkara tidak elok nanti”,  suatu hari Pak Melan,  sepupu Pak Sani bertandang ke rumahnya.
         ”Di mana-mana ladang pun serupa.  Mereka akan mencari keluarga angkat.  Tingkah laku mereka memang baik.  Kita pula, menerima mereka seadanya sebagai anak angkat.  Kau tentu tahu, cerita pemuda-pemuda seberang bawa lari anak-anak gadis tempatan.   Aku bukan menakut-nakutkan kau, tapi agar kau beringat-ingat.  Jangan kau menyesal nanti”,  tanpa rasa jemu Pak Melan memberi nasihat namun tidak pernah diindahkan oleh Pak Sani.  Apabila nasi telah menjadi bubur, nasihat Pak Melan itu sering terngiang-ngiang di telinga Pak Sani. 
         ”Kalaulah aku dengar nasihat si Melan, tentu Alia masih ada di rumah ini.  Masih ada bersama-sama aku dan Timah.  Ini semua memang salah aku.  Percaya sangat dengan budak-budak dari seberang tu”,  Pak Sani menghela nafas.  Dia merenuang jauh.  Dia teringat sewaktu Alia dilarikan oleh Agos pemuda seberang.  Pada mulanya Alia juga minta izin daripadanya untuk ke bandar.  Pak Sani membenarkan kerana Alia ditemani oleh Agos anak angkatnya.  
         ”Ya Pak. Saya boleh temankan Alia ke bandar.  Ngak usah kuatir”,  kata Agos sambil mengulum senyum.  Pak Sani berasa lega akan keselamatan Alia.  Dia pasti Alia selamat daripada gangguan budak-budak nakal di bandar sekiranya ditemani oleh Agos.
         ”Bang! Bang! Sudah jauh malam ni bang, mengapa Alia dan Agos tidak balik lagi?”  tercunggap-cunggap Mak Timah daripada Tanjung mendapatkan Pak Sani di rumah.
         ”Di Tanjung, semua orang sedang berbual tentang Alia dan Agos.  Pagi tadi Mereka nampak Alia dan Agos di Tanjung..  Mereka bukan ke bandar seperti yang abang sangkakan.  Mereka menaiki bot daripada Tanjung terus menuju ke pelabuhan.  Macam mana ni bang?”  suara Mak Timah berubah.  Sendu Mak Timah semakin mendalam. Pak Sani terlopong sehingga tunggul-tunggul giginya kelihatan di sana-sini.  Pak Sani hilang kata-kata.   
        ”Sudah tiga tahun Alia hilang.  Tidak tahu khabar beritanya”,  Mata Pak Sani berkaca.  Tangan tuanya mengurut dada.  Dia menghela nafas dalam-dalam dan tunduk menahan sebak.
        ”Aku tahu, Alia lari disebabkan aku tidak pandai menilai sejauh mana keikhlasan budak-budak seberang itu.  Aku sangka mereka baik, membantu menjaga keluarga.  Rupa-rupanya disebalik kebaikannya itu dia melarikan anak kesayangan aku”,  keluh Pak Sani sambil meramas jari jemarinya.  Bola matanya digenangi air.   Pak Sani terpejam.  Meluncur laju air bening melintasi kelopak mata Pak Sani.  Hari itu, jiwa Pak Sani benar-benar tewas.  Kekentalan hatinya tidak seperti beberapa tahun yang lalu sewaktu Melan memberi nasihat.  Ternyata, kelip-kelip yang di sangka api, rupa-rupanya adalah percikan unggun api yang sedia membakar.

*** 
Istilah-istilah yang selalu digunakan di Ladang.
1.  Kandang =  Rumah asuhan anak-anak pekerja ladang.
2.  Perhimpunan segera pekerja =  Rowcall yang selalu digunapakai di ladang-ladang.. 


No comments:

Post a Comment

ahahaha:..appyyy

ahahaha:..appyyy
THomes?....i'm Jerry...hehehehe