Jawa Tengah

Monday, 26 May 2014

mawar kelabu yg busuk dan berulat.....huhuhuh

Bab 25
Aku Seorang Isteri.

         Sejak dari majlis persandingan itu, aku dan Malik membuat keputusan untuk tinggal di rumah ibu Malik buat beberapa ketika kerana ibunya tinggal sendirian.  Aku dengan rela hati menerima apa sahaja yang dicadangkan oleh Malik demi untuk kebaikan kami.  Rasa agak terpujuk hati ini apabila melihat persekitaran rumah ibu Malik yang terletak di antara pepohon dusun buah-buahan.  Redup dan nyamannya halaman rumah membuat aku merasa sedikit  jatuh cinta dengan suasananya.  Selain pohon buah-buahan, di hadapan sekali bertentangan dengan jalan masuk utama, terdapat pohon kemboja yang berbunga putih berseri.  Di bawah pohon itu terdapat sebuah meja kecil dan empat buah tongkol kayu yang dijadikan sebagai tempat duduk beristirehat.   Setiap pagi aku akan mengelamun dan mengabiskan hari-hari baru ku yang terasa kaku dan semakin layu. 

        Jiwa ini bagikan masih tercari-cari sesuatu yang tidak pasti, kadang jua meratap sendirian bagai pungguk menantikan bulan jatuh ke ribaan.  Hari-hari yang ku lalui hanya bertemankan sebak di dada.  Masih lagi tercari-cari sesuatu yang belum dapat ku temui.  Biar pada mulanya hati telah bernoktah untuk melayari penghidupan baru bersama seseorang anugerah dari ilahi.  Namun sebenarnya aku telah mendustai kebenaran di hati ini.  Tiada keikhlasan di atas segala yang telah berlaku sejak beberapa hari kebelakangan ini.  Melayan kata hati dan terlupa dari menunaikan tanggungjawab ku sebagai seorang isteri.  Tanpa aku peduli ada hati insan-insan lain yang memerhati disetiap gerak geri ku.

         Selepas menunaikan solat subuh tetakala embun pagi masih di hujung rumput, tetakala dingin subuh masih mengigit seluruh tubuh, aku telah mula berada di perkarangan halaman rumah.   Menyedut udara yang bersih dan terasa begitu segar sekali.  Dari jauh aku lihat seekor labah-labah sedang menenun sarangnya dengan tekun.  Tanpa aku sedari, embun telah mula kering dari ujung daun bererti matahari telah mula memperlihatkan diri. 

        Labah-labah tetap tekun dengan tanggungjawabnya menenun sarang untuk kekasih hatinya yang kelak menghuni bersama.  Bahagia pasangannya kelak apabila cintanya beralas dengan seluruh keikhlasan.  Ketekunannya menenun dari sekecil tapak tangan ku, sehingga sebesar dulang melingkari reranting pohon mawar.  Labah-labah terus menenun dengan tekun tanpa menghiraukan aku sedang memerhatikannya.  Berkilauan bebenang sarangnya apabila dipanah oleh cahaya matahari yang mula menyeri pagi.  Beberapa helai daun kering berguguran dari atas pohon apabila ditiup oleh angin yang molos.  Ada di antaranya yang jatuh ke atas ribaan ku dan ada juga yang tersangkut di sarang labah-labah itu.

         ” Aduhai daun yang kering, akhirnya kau jatuh juga tetakala angin menerjah, biar pun kau tidak ingin untuk jatuh menyembah tanah ”,  bisik hati kecil ku.

        Angin tetap setia dengan sang penciptanya dan terus berhembus lembut menepis huraian rambut ku membuatkan aku terus khayal kembali jauh ke alam silam ku.  Matahari terus berbakti menjelajah seluruh benua dengan sinarnya.  Aku tetap tidak berganjak terus terpaku duduk di bawah pohon kemboja bersebelahan dengan pepohon mawar.  Perasaan ku hambar, sepi, kosong dan tidak mengerti apakah sebenarnya yang sedang aku cari dan lalui.

        ” Sayang, kenapa masih di situ, hari dah panas membahang, masuklah ke dalam ”,  kedengaran suara Malik suami ku, dari atas rumah.

        Aku tidak menjawab, hanya membiarkan saja suaranya di bawa angin lalu.  Aku terasa bahu kiri ku di sentuh, aku lihat Malik telah berada di sisi ku.  Terpamir di bibirnya senyuman yang penuh dengan keikhlasan.  Terasa kaku bibir ku untuk membalas senyumannya kerana aku tahu senyuman ku tidak seikhlas senyumannya.  Aku membiarkannya tersenyum kerana Malik yang ku kenali memang murah dengan senyuman.  Malik menghampiri ku dan melabuhkan dirinya di sisi.  Aku menjarakan diri darinya, seolah-olah dia bukanlah suami ku.  Tuhan, aku tidak dapat menghargai kasih dan cinta suci dari suami ku senidiri. 

        ” Dari tadi abang perati, Salina tidak berganjak pun duduk di sini, kenapa? ”  soal Malik kepada ku.

        ” Rasa tenteram di sini, ada angin yang bertiup, di kiri-kanan ada bunga-bunga mawar yang sedang berkembang, membuat hati Salina leka, bang ”,  balas ku.

        ” Semuanya yang ada di sini sungguh menghiburkan, tapi hati ini belum juga dapat meleraikan perasaan dari segala gundah ”,  kata ku lagi.

        ” Adakah sesuatu yang abang perlu tahu? ”,  tanya Malik sambil tangannya mengusap rambut ku.

         ” Tak ada, sekadar masih mencari sesuatu yang kadang kala membuat hati masih jauh dan keliru”,  jawab ku.

         ” Kalau ada sesuatu yang boleh abang kongsi bersama, abang sedia mendengarnya ”,  kata Malik lagi.

         ” Tak ada apa-apa ”,  balas ku singkat.

        ” Tapi abang tengok macam ada sesuatu yang tak kena,  ceritakan saja, mana tau abang boleh menolong? ”  tanya Malik, penuh rasa ingin tahu.

        ” Perasaan saja, kerana untuk menjadikan diri seorang isteri mithali agak terbeban di dalam hati ”,  jawab ku.

        ” Kita masih banyak masa untuk mempelajari dan mengubah diri dari sendiri kepada berpasangan seperti sekarang ini.  Kita perlu saling bantu membantu dan saling memahami.  Dari situlah kita akan dapat membina dan menyatukan hati yang sering gundah.  Abang sedia membantu dalam apa saja demi isteri abang yang sangat abang sayangi ”,  kata Malik seakan berbisik.

       ” Terima kasih bang ”,  jawab ku.

         Malik menggengam jari jemari ku.  Aku dapat rasakan, keikhlasan lahir dari  hangat gengamannya.  Tidak ada ayat yang boleh ku katakan lagi.  Mati seluruh suara hati ku bila berhadapan dengan seorang suami persis Malik.  Pandangan ku masih tepat ke arah labah-labah yang masih tekun menenun sarang.  Tanpa ku sedar daun-daun kering berserakan di atas ribaan ku.  

       ” Marilah kita masuk ke dalam, disini dah mula panas ”,  Malik bangun sambil menarik tangan ku.

       ” Nantilah, Salina ingin melihat labah-labah itu menyiapkan tenunan sarangnya sehingga habis.  Suatu perkerjaan yang sungguh mulia dan menakjubkan dalam kehidupan ini ”,  pinta ku pada Malik dengan lembut.

        ” Ya lah, labah-labah tidak pernah jemu menenun sarangnya dengan segala keikhlasan demi pasangannya kelak ”,  Malik berkata sambil menarik nafas yang panjang.

         ” Marilah masuk, kita sarapan dulu, selepas minum kita boleh lihat apa-apa saja di sini ”,  pujuk Malik kepada ku.

        ” Tidak ada selera lah bang ”,  jawab ku.

         Malik menarik nafas hampa, mungkin kecewa dengan jawapan ku.  Ku terasa  lembut nafasnya kembali mengenai pipi. 

         ” Ok, abang masuk dulu, jangan lama-lama di sini, matahari dah lama berada di atas ”,  usik Malik sambil tersenyum dan terus masuk ke dalam rumah.

         Leganya rasa hati ku apabila ditinggalkan berseorang begini.  Pandangan ku masih tertumpu pada labah-labah disamping terus menyambung kenangan lalu bersama mu kasih. 

         ” Mengapakah kau tidak setekun labah-labah itu apabila menyulam cinta kita kasih.  Kau robohkan segalanya hanya kerana kesalahan ku yang aku sendiri tidak pasti ”,  keluh hati ku.

         ” Dimanakah dikau sekarang kasih, tidakkah kau tahu, aku kini telah menjadi seorang isteri, sedangkan hati ini masih berpaut di hati mu ”,  hampir saja air mata ku berderai disaat mengingati mu.

         ” Sayang, masuklah hari sudah semakin panas ni ”,  suara Malik mematikan lamunan ku.

         ” Jangan berpanas, pening kepala pulak nanti ”,  Malik berkata lagi.

         ” Yalah.  Salina masuk ni ”,  gumam ku.

         Akhirnya aku akur dengan permintaan Malik.  Aku bangun dengan begitu malas sekali.  Dalam hati ku masih lagi bercelaru, tidak lagi dapat menyerasikan diri sebagai seorang isteri terhadap sahabat baik ku sendiri.  Ya Allah, mengapakah perasaan ini begitu berat sekali.  Hampir setiap hari setelah diri ini bergelar isteri, aku akan habiskan masa dengan duduk di bawah pohon seperti ini.  Tanpa menjalankan tanggungjawab ku terhadap rumah tangga sepertimana yang dilakukan oleh isteri-isteri yang lain.  Ya Allah, siapakah sebenarnya diri ku ini.  Dan apakah yang ku cari di dalam kehidupan ini.

        Rasa berat kaki ku melangkah ke dalam rumah.  Terdengar Malik dan ibunya sedang berbual sambil bersarapan.  Perbualan mereka amat jelas kedengaran.  Aku menghentikan langkah dari terus mendapatkan mereka. 

       ” Dah jadi isteri orang, kena ubahlah cara kehidupan, jangan terbawa-bawa cara masa anak-anak dara dulu.  Dulu lain sekarang dah jadi isteri tentulah kena berubah.  Kalau tak berubah, susah nanti kau Malik, cuba nasihatkan si Salina, jangan terus menerus dengan tabiatnya yang suka duduk bermenung di bawah pokok kemboja tu ”,  terdengar ibu mertua ku berbual bersama Malik suami ku.

       ” Biarlah dulu mak, baru sangat lagi, mungkin masih dalam suasana menyesuaikan diri.  Mak janganlah bimbang, tak lama lagi berubahlah dia ”,  balas Malik.

        ” Mana barunya, dah masuk lima bulan korang mendirikan rumahtangga.  Mak tengok Salina masih macam itu juga, tak seperti isteri-isteri orang lain ”,  kata ibu mertua ku tidak puas hati dengan perilaku ku selama ini.

        ” Insyaallah mak, esok lusa berubahlah tu ”,  jawab Malik lagi.

        ” Harapan mak memanglah macam tu,  semua mak di dunia ni inginkan anak-anak mereka hidup bahagia, punyai rumah tangga dan anak-anak, kalau selamanya Salina macam ni, jangankan anak kau dapat, pecah belahlah nanti jadinya ”,  leter ibu mertua ku lagi.

        ” Janganlah mak cakap macam tu, setiap ucapan dari mulut seorang ibu itu seperti doa mak ”,  jelas sekali suara Malik berkata begitu.

        ” Mak ni sekadar ingatkan kau je Malik, kita tak tahu apa masalah Salina tu.  Mak yakin si Salina tu macam ada masalah ”,  kata ibu mertua ku lagi.

        “ Insyallah mak, nanti Malik tanya Salina, mak janganlah risau, cuma Malik harap doakanlah rumah tangga kami yang masih merah ni terus berkekalan sehingga ke akhir hayat kami ”,  aku pasti Malik mula rasa terbeban dengan semuanya ini.

        Aku membatalkan niat untuk turut sama bersembang dengan mereka.  Aku membawa diri ke bilik jauh dari perbualan mereka.  Biarlah mereka berdua beranak bersembang semahu-mahunya.   Perasaan ku diburu rasa  bersalah apabila teringat kata-kata ibu Malik sebentar tadi.  Aku sedar yang aku tidak menjalankan tanggungjawab ku sebagai seorang isteri dan sengaja mengabaikan rumahtangga ku.   Aku hanya mengikut perasaan yang mungkin juga dari hasutan syaitan supaya aku terusan  mencari sesuatu yang tidak mungkin akan ku temui lagi.   Kasih, mengapa engkau begitu utuh di dalam hati ini.  Aku tidak boleh melupai mu biar di saat aku telah bergelar seorang isteri.  Penantian apakah semuanya ini, tuhan..


          Dalam penantian yang tiada sempadan, dalam kehambaran aku melihat kau tersenyum dan menghulurkan tangan mu.  Lalu kau mendakap ku dengan cinta mu yang hangat mewangi.  Kita berlari menuju ke sebuah danau yang di dalamnya ada rimbunan pepohon menghijau.  Aku benar-benar rindu pada mu duhai kasih.  Kau berlari menyelusuri danau dicelah-celah rimbunan pohon mawar yang mewangi.  Aku mengejar mu dan terus mengejar mencari di mana kamu bersembunyi.  Lama aku mencari mu di segenap taman dan di segenap danau.  Kau tidak ku temui lagi.  Aku menangis semahu-mahunya sambil memanggil-manggil nama mu.  Dalam suasana yang serba samar itu, aku terasa tanggan ku kau sentuh.  Ku lihat kau menghampiri ku. 

       ” Mengingau siang hari ni, apa yang menganggu perasaan mu sayang? ”,  aku terdengar ada suara yang begitu hampir pada ku, dikaukah kekasih?.

       ” Aku tidak bermimpi kasih, aku benar-benar melihat kau ada bersama ku sebentar tadi ”,  bisik hati ku yang tidak dapat ku ucapkan.

       ” Seolah ada sesuatu yang amat berat ditanggung.  Beritahu pada abang, boleh kita atasi bersama ”,  suara itu ku dengar lagi.

       ” Kenapa dengan diri mu sayang? ”  suara itu bertalu-talu memenuhi ruang telinga ku.

         Aku terasa ada sesuatu yang menitis di kelopak mata ku.  Titisan itu terasa  hangat.  Diri ku didakap dalam getaran esak tangisan dari seseorang.   Perasaan ini seperti bersatu, lalu aku juga terasa air mata ku mengalir dengan sendirinya.

         ” Ahhhhh, bermimpikah aku? ”  bisik hati kecil ku yang masih di kaburi perasaan terawang-awang, mencari sesuatu yang tidak pasti.

         Ku buka mata dan terasa diri ini berada didalam dakapan seseorang.  Aku rasa ada air yang mengalir di matanya dan dia merenung ku dengan matanya yang berkaca.  Dia tersenyum dan mengucap syukur kerana baginya aku telah tersedar dari mimpi.  Senyumanya yang ikhlas serta wajahnya yang tenang, tidak dapat mengubat hati ku yang sarat merindu.  Kau bukan kekasih ku, aku tidak merindui senyuman mu.   

        ” Apa masalah yang begitu berat ditanggung, sayang? ”,  Suara yang tidak asing di pendengaran ku.

        Ku lihat jauh sinar mata orang yang berada di sisi ku, ada kejujuran di kerdipan matanya.  Mata kami bertentangan dan perasaan ku tiba-tiba dihujani dengan rasa terharu.  Aku menangis semahu-mahunya beralaskan dadanya. 

       ” Sudahlah jangan menangis lagi, segalanya akan berakhir seandainya sayang telah benar-benar ikhlas menerima abang.  Abang reda dengan semuanya ini ”,  selewat ini, suara inilah yang sangat akrab dipendengaran ku. 

       Seperti di panah petir aku bingkas jaga dari lena dan mimpi yang panjang.    Aku mula menangisi nasib diri di alam yang nyata.  Perasaan berdosa terhadap Malik suami ku mula mengamit jiwa.    Aku mula sedar dari segala mimpi-mimpi indah yang tidak mungkin dapat ku gapai.

        ” Maaf, maaf kerana menyusahkan abang ”,  rintih ku.

        Sisa-sisa sendu masih ada di dada yang masih tetap bergetar dengan segala mimpi.  Aku dibelai dengan seribu kasih sayang dari seorang suami.  Sedangkan kasih sayang ku masih terawang-awang, belum ketahuan arah tujunya. 

        ” Maafkan Salina bang, maafkan Salina ”,  hati terasa sangat bersalah terhadap Malik.

        ” Tidak ada apa yang abang nak maafkan, Salina tidak bersalah, sebaliknya abang yang minta maaf kerana mungkin sebentar tadi Salina telah terdengar apa yang abang dan mak bualkan.  Itu semua adalah salah faham kerana mak tidak memahami situasi kita sekarang.  Salina kena faham ”,  Malik suami ku, terasa seolah aku berkecil hati terhadap perbualannya bersama ibunya.

        ” Tidak pernah berkecil hati, apa yang mak perkatakan tu semuanya benar ”,  jawab ku masih di dalam sendu.

        Dimanakah akhirnya bahtera kehidupan ku tersadai demi untuk menuju sebuah pelabuhan yang damai.  Dapatkah aku menjadi isteri Malik dengan ikhlas dan memberinya cinta ku yang telah tiada. 

       Semenjak dari hari itu, rasa hambar ini ku jinakkan dengan ilusi penulisan.  Kadang kala hasil pena ku terlahir di dada akhbar dan majalah tempatan.  Terhibur apabila rasa hati dapat ku semadikan di atas kertas putih titipan dari sebuah mesin taip tua yang tidak pernah jemu menemani ku.  Bila hati kian retak, akan ku lunaskannya bersama tinta dan ku catitkan di atas kertas tanpa warna dengan bait-bait puisi dengan erti penghilang rasa sepi di hati.   Lalu terhasil sebuah nukilan rasa yang cuba menepis segala gundah dijiwa.


Tunas bunga ku:

Bila bunga-bunga kian layu
Kelopak Kering kusam berdebu
melayang jatuh ke hujung perdu
terhempas luka di dada waktu.
Malam gersang gelita membisu.
tanpa bulan sarat merindu.

Bila bunga-bunga kain layu
Kumbang jalang undur berlalu
Tertutup hatinya tanpa mengaku
Pernah menyeri madu bertalu-talu
Pernah terbang seiringan meniti waktu
Untuk mencatat cinta nan berlagu
Menyanyi bersama berirama merdu.

Bila bunga-bunga kain layu
Gelita malam sembah menyusun
Mencari cinta dari tinta sang bayu
Di bawah beningnya titisan embun
Menanti siang memeluk rindu.

Bila bunga-bunga kian layu
Terdampar kering sepi membisu
Berserakkan menuruni lembah nan berliku
Menanti hari setia menongkah waktu.

Kini kudup mula tunas kembali
Walau sukarnya di celahan tajamnya duri
Calarnya hanya sebuah ilusi
Menimba keringnya kemarau di hati
Agar gersangnya bisa bongkar kembali.

Doa ku...
Bunga-bunga bisa kembang kembali
Bertatih menyeri dengan sinar sang mentari
Terbuang sudah segala kebejatan di hati
Biar usia kian rakus memamah diri.

Salina




Bab 26
Perubatan.

         Entah mengapa, aku telah dipaksa oleh ibu mertua ku pergi membuat rawatan di sebuah Pusat Perubatan Tradisional.   Malik terpaksa akur dengan permintaan ibunya. 

        ” Bawak si Salina tu berubat.  Mak rasa ada yang tak kena budak tu.  Esok kita ke Desa purnama, berubat.  Buang segala hantu-hantu yang selalu mengusik hati korang tu ”,   kata ibu mertua ku sejak dia mengetahui yang aku selalu mengigau di dalam tidur.

        ” Rasanya tak ada apa yang nak di ubatkan mak.  Biasalah orang tidur kan kadang bermimpi dan ngigau.  Itu kan adat orang tidur mak ”,  jawab Malik menolak cadangan ibunya untuk membawa aku berubat.

        ” Alah, orang lain pun tidur jugak.  Tak adalah macam isteri kau tu.  Asal tidur siang je, mesti mengigau.  Ni mesti ada yang tak kena ni “,  kata ibu mertua ku lagi.

       Di Pusat Perubatan Tradisional tersebut, aku dibawa masuk ke dalam bilik rawatan.  Sewaktu membuat pendaftaran, aku dan Malik telah di beri dua biji telur ayam kampung setiap seorang.  Kami diminta agar mengoles-goleskan telur ayam kampung itu ke tempat yang selalu berdebar atau yang sedang sakit.  Aku hanya menurut seperti yang telah diterangkan oleh seorang pemuda yang berwajah sopan.

       ” Oleskan telur tu ke tempat yang terasa sakit atau yang rasa berdebar”,  kata pemuda yang berwajah sopan itu.

       Aku hanya menurut seperti yang disuruh.  Tidak berapa lama, tiba giliran ku untuk membuat rawatan.  Aku, Malik dan ibu mertua ku masuk ke dalam bilik rawatan.  Di dalam bilik rawatan itu terdapat beberapa barang yang agak ganjil seperti sebuah balang kaca di dalamnya ada segumpal kain dan batu-batu kecil.  Hati ku tiba-tiba berdebar, entah mengapa tidak ku ketahui.  Bagi ku Malik tidak seharusnya menuruti kehendak ibunya ke Pusat Rawatan itu. 

       ” Kenapa Makcik? ”,  tanya salah seorang pemuda lain yang ada di situ.

       ” Ini ha, anak menantu makcik, selalu mengigau yang bukan-bukan kalau tidur.  Macam ada yang menganggu agaknya ”,  jawab ibu mertua ku.  Tergambar di wajahnya ada kebenaran dalam jawapannya itu.

       ” Oo, kakak ni? makcik dan abang ni tak mahu buat rawatan sekali ke? ”  tanya pemuda itu lagi.

       ” Tengokkan isteri saya dululah ya ustaz ”,  kata Malik.

       ” Tadi, dah oleskan telur di tempat yang sakit? ’,  tanya pemuda yang dipanggil ustaz oleh Malik.

       ” Sudah. ”,  Jawab ku ringkas.

       ” Beri pada saya telur tu ”,  kata ustaz itu lagi.

       Aku menghulurkan sebiji telur yang telah ku oleskan ke dada dan tangan ku.  Pada ku, tiada tempat yang ku rasa sakit kecuali sering merasa berdebar di dada.

       ” Ni paku, kalau saya cucukkan ke tapak kaki kakak.  Kalau rasa sakit, akak cakap ya? ”  sambung ustaz itu lagi.
    
        Sementara seorang pemuda lain mengambil telur ku tadi dan meletakkannya ke atas sebiji pinggan. 

         ” Makcik dan abang, boleh tengok apa yang ada di dalam telur ni bila saya pecahkan.  Bismmillahirohman hirohim ”,  sebut pemuda itu.

        Malik, ibu mertua ku dan aku sendiri, menunggu dengan debar apa yang akan keluar dari dalam telur yang baru di pecahkan itu.

       ” Makcik, abang,  tengok ni.  Ada jarum yang hampir karat di dalam telur tadi.  Nampaknya ada tiga batang jarum ”,  kata pemuda itu lagi.

       Sementara paku yang di cucukkan di telapak kaki ku semakin kuat di tekan oleh pemuda yang di panggil ustaz oleh Malik.  Bila terasa sangat sakit di perbuat begitu, aku menjerit kesakitan.

        ” Adoh!!, sakitlah ”,  jerit ku keranan kesakitan.

        ” Ok, kalau sakit bermakna akak ada yang tak kena di dalam badan.  Mungkin sakit di bahagian jantung, atau paru-paru ”,  kata pemuda yang dipanggil ustaz itu.

        ”Ah ? ”,  serentak aku, Malik dan Ibu mertua ku terkejut.

        ” Ya.  Kalau tidak menghidap apa-apa penyakit di dalam badan, biasanya apabila di cucuk dengan paku di tapak kaki, orang itu tidak akan merasa sakit.  Tapi kakak ni menjerit kerana sakit ”,  ujar pemuda yang di panggil ustaz itu lagi.

        ” Oo.  Apa kena mengena pulak dengan telur yang ada jarum dalamnya tu? ”  tanya ibu mertua ku.

        ” Jarum yang keluar dari telur ni menandakan, akak terkena sihir.  Samada sihir itu sengaja di hantar atau akak terlanggar sihir orang lain ”,  jawab pemuda itu.

        ” Saya pecahkan telur yang abang punya pulak ya”,  kata pemuda yang mencucukkan paku ke tapak kaki ku.

        ” Ha bang, abang pun sama juga.  Ada jarum yang hampir karat ”,  kata pemuda tadi dan menunjukkan pinggan berisi telur yang telah di pecahkan.

         ” Ni maknanya keluarga abang terkena sihir !”,   sambung pemuda itu lagi.

         ” Ah?”  serentak aku dan Malik terkejut yang teramat sangat.

         ” Kena sihir? ”,  tanya ku serentak.

         Ibu mertua ku hanya duduk memerhati apa yang di lakukan oleh pemuda yang di panggil ustaz itu.  Sesekali wajah ibu mertua ku berkerut seolah-olah menginggati sesuatu.

         ” Siapa yang menghantar sihir tu ustaz? ”  tanya ibu mertua ku.

         ” Tak semuanya sihir itu di hantar oleh seseorang.  Mungkin juga mereka berdua ni terkena sihir sewaktu berjalan atau kemana-mana.  Mungkin mereka terlanggar sihir yang di tujukkan kepada orang lain.  Bila telanggar, diri pulak lemah, maka jadilah sihir tu kepada orang yang melanggarnya ”,   Terang pemuda yang di panggil ustaz itu. 

         ” Kakak ni pulak, mungkin ada sesuatu yang menyebabkannya sakit di dada atau ada gangguan pada fikirannya.  Sihir ni adalah perbuatan jin yang jahat, makcik.  Tapi insyaallah, dengan izin Allah, akan beransur pulihlah tu nanti ”,  jelas pemuda yang di panggil ustaz itu lagi.

         ” Apa ubatnya? ”  tanya ibu mertua ku dengan wajah yang berkerut.

         ” Ubat tertentu tak ada makcik, tapi kenalah banyakkan beramal, berzikir dan jangan tinggalkan solat lima waktu ”,  kata pemuda itu lagi.

         ” Boleh baik ke?”  tanya ibu mertua ku lagi.

        ” Tak usah bimbang makcik.  Kalau kita selalu ingatkan Allah dan beramal kepadanya dengan ikhlas, Insyaallah, hati akan tenang dan segala jin pun takut nak mengacau ”,  kata pemuda yang di panggil ustaz itu.  Kali ini dia tersenyum lebar dengan mata melerik ke arah ku.

         ” Akak, apa yang selalu akak igaukan? Atau ada ke mimpi-mimpi yang menakutkan? ”  tanya pemuda yang di panggil ustaz itu pada ku.

         ” Biasalah ustaz, kadang tidur tu mimpi, mimpi kadang menakutkan, kadang menghiburkan.  Hanya mimpi je ustaz ”,  jawab ku bersahaja.

         Pemuda yang dipanggil ustaz itu tersenyum mendengar jawapan dari ku.  Malik juga tersenyum dengan tangannya memegang tangan ku. 

         ” Kalau tak ada apa-apa lagi yang perlu, saya minta diri dulu ya ustaz”,  ujar Malik sambil bangun dan memimpin tangan ku.

         ” Ni, ada air dan tujuh biji limau.  Bila nak mandi, perahkan air limau ni untuk satu baldi.  Air ni untuk minum dan membasuh muka ”,  terang pemuda yang di panggil ustaz itu.

         ” Oh, terima kasih ya ustaz ”,  kata ibu mertua ku. 

         ” Kalau masih sama juga tak berubah, mengigau waktu tidur atau badan tak sihat, fikiran rungsing, minggu depan datanglah lagi.  Kita tengok dulu, mana tau, lepas ni akak dan abang beransur baik. ”,  Kata ustaz itu lagi.

         Setelah memberi salam kepada pemuda yang di panggil ustaz dan rakannya, aku mendahului Malik dan ibu mertua ku keluar dari bilik rawatan.   Terasa sesak dada ku berada di bilik rawatan itu, kerana tidak tahan dengan bau wangi yang menyusuk hidung.   Dari luar bilik rawatan ku lihat Malik dan ustaz sedang berbincang.  Kemudian aku lihat Malik menghulurkan wang lima puloh ringgit kepada ustaz itu. 

        ” Tak ada bayaran bang.  Saya ikhlas.  Semua yang datang buat rawatan di sini, tak perlu membayar apa-apa.  Cuma kalau abang nak bersedekah untuk Pusat Rawatan Desa Purnama ni, masukkan duti tu kedalam kotak di luar sana”,  kata pemuda rakan kepada ustaz, sambil menuding jari ke arah sebuah kotak yang lutsinar.  Di dalam kotak itu terdapat banyak wang kertas.

        ” Oh, oklah ya ustaz, kami minta diri dulu.  Terima kasih ”,  ujar Malik, keluar menuju ke kotak yang di maksudkan lalu memasukkan sejumlah wang ke dalamnya. 

        Di dalam perjalan pulang, ibu mertua ku, Malik dan aku seperti sudah kehilangan suara untuk berkata-kata.  Kami bertiga melayan perasaan masing-masing.  Sesekali ku lihat ibu mertua ku tersengut-sengut tertidur mungkin letih kerana Pusat Rawatan Purnama itu agak jauh dari daerah ku.  Masih terngiang-ngiang di telinga ku penerangan ustaz di pusat rawatan itu.  Mungkin kerana kejahilan dalam diri, maka sedikit sebanyak yang di katakan ustaz itu, kurang menyakinkan aku.  Mengapa di dalam telur terdapat jarum yang hampir karat?  Adakah perubatan secara Islam memerlukan telur, paku dan limau.  Aku tidak dapat jawapan dari semuanya itu kerana bagi ku, aku bukanlah sakit atau menderita kerana sihir.  Aku hanya tidak dapat melupakan sesuatu yang sangat sukar untuk ku lafaskan.   Sehingga dalam tidur,  terbawa-bawa rasa cinta pertama ku yang telah lama patah dan kecundang. 

        Ibu mertua ku telah menyediakan sebesen air bercampur dengan perahan limau.  Melihat yang sedemikian, aku merasa terharu kerana keperihatinan ibu mertua ku.  Diri terasa bersalah. 

       “ Salina, air mandi dah mak siapkan.  Dah boleh mandi sekarang”,  ibu mertua ku memanggil ku dari bilik air dapur.

      “ Baik mak, kejap lagi.  Salina sedang bersiap ni”,  jawab ku.

      “ Bila air ni terkena mata, pedih pulak nanti “,  kata ku sendirian.

       “ Alah, dah tua bangka, tak kan mandi pun boleh terpedih mata.  Lainlah kalau kau rendam mata ku tu dalam besen”,  sergah ibu mertua ku dari belakang tanpa aku sedari.

       “ Biar mak yang jiruskan ke badan kau.  Kau duduk sini dan pejamkan mata.  Takut sangat pedih”,  kata ibu mertua ku sambil tangannya menceduk air dari dalam besen.

       “ Eh, tak apalah mak.  Salina boleh mandi sendiri “, kata ku.

       “ Tak apa.  Ni bukan mandi biasa.  Ni mandi kerana berubat”,  pantas kata ibu mertua ku sepantas tangannya menjirus air ke atas kepala ku.

        “ Ni mandi, baca selawat.  Biar lari semua benda-benda halus dari badan kau.  Mudah-mudahan lepas ni kau dah tak meracau-racau lagi bila tidur “,  kata ibu mertua ku lagi.

        Aku tidak menjawab kerana mulut ku tidak dapat terbuka kerana bertalu-talu air melewati hidung dan mulut ku.  Termengah-mengah aku mencuri nafas dari curahan air mandian dari ibu mertua ku.

        “ Emak ni bukan apa Salina.  Mak ingin kau dengan Malik hidup bahagia.  Hidup macam pasangan suami isteri yang lain.  Apa saja yang boleh membantu untuk kau bahagia, mak akan lakukan “,  sayup-sayup terdengar suara ibu mertua ku.

       “ Terima kasih mak..”,  gumam ku dengan mengetap bibir.

       “ Dah selesai mandi nanti, kau minum air yang ustaz tu beri semalam”,  kata ibu mertua dan meninggalkan aku sendirian di dalam bilik air.

       Aku mengosok-gosok kedua belah mata.  Membuang segala serabut limau yang hinggap di rambut dan badan ku. 

       “ Bodohnya aku, tak pasal-pasal kena mandi air limau hari ni”,  bisik hati ku.

       “ Dah siap mandi tu cepat-cepat masuk.  Tak payah kemas besen tu.  Biar mak yang kemaskan.  Serpihan limau tu mak nak tanam!”,  terdengar ibu mertua ku berkata-kata dari luar dapur.

       Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata.  Hati tetap berdebar seperti selalu.  Terasa panas seluruh badan.  Malik di sisi ku, telah lama berdengkur mungkin juga telah bermimpi bertemu dengan bidadari. 

     

      




    



     


No comments:

Post a Comment

ahahaha:..appyyy

ahahaha:..appyyy
THomes?....i'm Jerry...hehehehe